Artikel tulisan Dr Aisar Yee dalam Sinar Harian yang sangat baik untuk dibaca...
Komposisi penduduk Tumpat di Kelantan menempatkan seramai 92.1% penduduk Islam, Cina 3.2%, India 0.5% dan lain-lain (Siam) 4.2%. Ia sebuah kawasan mutlak bermajoriti Melayu sebagaimana semua kawasan lain di Kelantan.
Tumpat adalah sebuah bandar kecil kira-kira 15 kilometer dari Kota Bharu. Tarikan utama bandar ini ialah beberapa kuil Buddha dan yang tersohor di antaranya ialah Wat Photivihan di Kampung Beruk. Di sini terdapat sebuah patung Buddha terbaring yang paling panjang di Asia Tenggara.
Tentu pelik bagi mereka yang belum pernah ke Tumpat. Patung Buddha terpanjang di Asia Tenggara terletak bukan di Thailand, bukan di Burma dan bukan di Kemboja tetapi di Tumpat sebuah bandar berpenduduk lebih dari 90% Islam, di negeri serambi Mekah!
Berdasarkan dari segi logik sekarang, tidak munasabah ia terbangun di sebuah kawasan Islam. Tetapi itulah hakikatnya. Malah di Tumpat, bukan sahaja wat itu yang wujud, terdapat beberapa yang lain seperti Wat Bang Takwa di Kampung Mentua, Wat Machimaram di Kampung Jubakar, Wat Maisuwankhiri di Bukit Tanah, Wat Phikulthong Vararam di Kampung Terbak, dan Wat Phikulya di Kampung Jubakar dan Wat Sukhontharam di Kampung Kubang Panjang.
Di Bachok, terletak juga di Kelantan, sebuah bandar di mana 98.4% penduduknya adalah Melayu/Islam seseorang boleh bingung melihat bagaimana boleh terbinanya dua buah kuil Buddha di situ. Dua kuil itu masing-masingnya dikenali sebagai Wat Pathumviarn di Kampung Balai dan Wat Ariya Khiri di Pauh Lima.
Bagaimana Bachok yang di dalamnya terdapat beberapa pusat pengajian pondok Islam dapat membenarkan wat-wat Buddha dibangunkan sungguhpun penduduk bukan Islamnya hanya 1.8% sahaja tentulah amat menakjubkan.
Itulah keindahan Islam yang terdapat di Kelantan. Sikap tolenransi terhadap agama lain adalah terlalu tinggi. Masyarakat bukan Melayu Kelantan amat menghormati agama Islam yang mempesonakan itu.
Sebenarnya, sikap toleransi Islam terhadap agama lain tidak hanya wujud di Kelantan. Ia terdapat di mana-mana di Malaysia. Kelantan disebut kerana ia adalah sebuah kawasan yang penduduk Islamnya bukan sahaja majoriti tetapi hampir mutlak seperti mana diwakili oleh Bachok tadi (98.4%).
No comments:
Post a Comment